PARLIMEN | Persidangan Dewan Rakyat hari ini dijangka membincangkan isu-isu penting yang menyentuh kepentingan rakyat, termasuk kos sara hidup, jenayah siber dan struktur baharu bil elektrik.
Chong Zhemin (HARAPAN–Kampar) akan membangkitkan isu keselamatan digital dengan meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan jumlah kes jenayah siber sepanjang 2024 serta langkah mengatasinya.
Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut) pula ingin tahu strategi kerajaan mengurangkan beban sara hidup rakyat ketika hutang negara mencecah RM1.5 trilion.
Beliau turut menyentuh unjuran Bank Dunia yang menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2025 menurun kepada 3.9 peratus dan kesan tarif timbal balik Amerika Syarikat.

Perubahan struktur bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dijangka dibincang menerusi soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu).
Beliau ingin tahu sama ada pelaksanaan struktur baharu tanpa kadar bertingkat itu menjamin keadilan kos dan kecekapan penggunaan tenaga, selain pengekalan subsidi bersasar untuk golongan B40 dan M40.
Chong Chieng Jen (HARAPAN–Stampin) pula membangkitkan isu tanggungjawab platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Xiaohongshu yang menyiarkan iklan scam serta skim pelaburan penipuan.
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025.
Persidangan ini dijadual berlangsung selama 24 hari dengan tumpuan utama termasuk pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada 31 Julai ini.
Baca juga: