PETALING JAYA: Isu kos sara hidup dan kadar gaji yang statik terus menjadi kebimbangan utama rakyat meskipun kerajaan giat menarik pelaburan asing (FDI) ke dalam negara.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ramai rakyat masih belum merasai manfaat langsung daripada pertumbuhan ekonomi semasa yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Ini adalah realiti ekonomi rakyat, mereka masih belum merasai perubahan yang ketara,” katanya dalam satu podcast Keluar Sekejap.
Beliau menjelaskan bahawa asas ekonomi negara masih bergantung kepada kos pengeluaran yang rendah seperti buruh murah, harga tanah yang rendah serta kemudahan ekuiti dan perniagaan yang kompetitif.
Amir Hamzah berkata, faktor ini menarik pelabur luar tetapi secara tidak langsung menyekat peningkatan kadar gaji rakyat.
“Kita terperangkap dalam status negara berpendapatan sederhana kerana ekonomi kita tidak dirangsang untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya lagi.
Beliau berkata, untuk melangkah ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, Malaysia perlu membangunkan industri berkompleksiti tinggi yang memerlukan kemahiran khusus dan mampu menawarkan gaji yang lebih lumayan seperti sektor semikonduktor.
“Jika kita hanya kekal dalam sektor pemasangan asas, kebergantungan kepada buruh murah akan berterusan.
“Sebaliknya, jika kita mula menyuntik modal intelektual seperti reka bentuk dan kejuruteraan ke dalam proses, maka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi akan berkembang,” ujarnya.
Tambah beliau, pelaburan dalam pendidikan teknikal dan vokasional serta peningkatan kemahiran tenaga kerja adalah kunci bagi negara keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.