Kota Madani bukan kota mega, apa salahnya? – PM jawab pembangkang

PARLIMEN | Pembangunan Kota Madani di Putrajaya yang menyediakan 10,000 unit penempatan untuk penjawat awam dipertahankan kerajaan sebagai langkah menyelesaikan kekangan perumahan di sekitar pusat pentadbiran negara.

Projek berintensiti tinggi itu, yang dijangka menampung lebih 30,000 penduduk, turut merangkumi sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam dan tidak menggunakan dana kerajaan seperti didakwa, sebaliknya dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian bagi menjawab kritikan pembangkang terhadap kos projek berkenaan.

“Kota Madani ini Perbadanan Putrajaya yang bangunkan, bukan menggunakan dana kerajaan. Ia bukan projek tidak penting seperti yang didakwa.

“Pembangunan ini untuk menyediakan 10,000 rumah penjawat awam di sekitar Putrajaya kerana ketika ini kita tidak dapat menampung keperluan sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat.

Penjelasan itu dikemukakan ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, susulan pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mempertikaikan keutamaan kerajaan membangunkan projek mega seperti Kota Madani dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang, berbanding pembinaan lebih banyak sekolah.

Menurut kerajaan, Kota Madani dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan kediaman penjawat awam yang semakin mendesak di sekitar Putrajaya.

Beliau turut menegaskan projek tersebut bukan sebuah “kota mega” sepertimana digambarkan pihak tertentu, sebaliknya sebuah pembangunan bandar pintar yang dirancang dengan integrasi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau.

“Ia bukan menara berkembar. Oleh kerana ia bandar baharu, ia mesti dibina sebagai bandar pintar dan mesra teknologi. Apa salahnya?” katanya.

Selain penempatan, Kota Madani turut merangkumi pelbagai kemudahan awam termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.

Fasa pertama pembangunan dijadual bermula pada September ini dan dijangka siap menjelang akhir 2027.

Dalam sesi sama, Perdana Menteri turut mempersoalkan mengapa pembangkang tidak mempertikaikan projek-projek infrastruktur besar lain seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merentasi Terengganu dan Kelantan yang menelan kos sehingga RM40 hingga RM50 bilion.

“Kenapa tidak disebut ECRL yang kosnya puluhan bilion dan memberi faedah kepada semua negeri termasuk Kelantan dan Terengganu? Itu kos jauh lebih besar,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan ketika ini berjaya mengurangkan kos projek besar serta memastikan penglibatan subkontraktor tempatan, selain membezakan antara perbelanjaan pembangunan dan pembiayaan melalui bon serta mekanisme bayaran balik.

Katanya, Pulau Pinang pula sudah hampir lima tahun tidak mempunyai projek infrastruktur berskala besar, justeru pelaksanaan LRT Laluan Mutiara adalah keperluan bagi menyelesaikan masalah mobiliti jangka panjang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat