Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan tidak menjadikan projek Kota Madani sebagai alat pelaburan politik tetapi ia merupakan satu keperluan buat ekosistem ekonomi baharu yang memberi manfaat jangka panjang buat rakyat.
Perkara itu dilontarkan oleh Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Dr Mohammed Taufiq Johari yang turut menangkis kenyataan dangkal Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berhubung pembinaan projek Kota Madani.
Menurut kenyataan media hari ini, katanya Kota Madani bukan sekadar projek fizikal tetapi sebahagian daripada rangka pembangunan bersepadu.
“Bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat rujukan ekonomi digital hijau dan mampan. Menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa dalam sektor baharu yang berkualiti.
“Menyediakan ruang inovasi, peluang pekerjaan kepada generasi muda serta mengurangkan beban permintaan kuarters penjawat awam yang kini amat terdesak,” katanya.
Menyentuh mengenai penglibatan anak syarikat Petronas pula katanya, ia adalah sebahagian daripada strategi komersial syarikat dan bukan paksaan politik.
“Putrajaya Holdings terlibat atas dasar viabiliti perniagaan, dengan peluang mencipta pulangan mampan melalui pembangunan hartanah dan ekosistem yang berdaya saing,” ujarnya.
Kata beliau, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan Petronas sebagai syarikat milik negara yang berintegriti dan tidak sesekali menjadikan Petronas sebagai ‘ATM Politik’ sepertimana yang didakwa oleh pihak tertentu sebelum ini.
“Pembinaan Kota Madani tidak melibatkan wang rakyat tetapi ia ditanggung sepenuhnya oleh pemaju,” kata Taufiq.
Beliau menegaskan, Kerajaan Madani sentiasa meletakkan keutamaan rakyat di posisi tertinggi.
Jelasnya lagi, terdapat tuduhan yang menyatakan bahawa kerajaan mengabaikan pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat adalah tidak tepat.
Ini kerana dedahnya, belanjawan 2025 membuktikan keutamaan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat melalui peningkatan Peruntukan Pendidikan.
“Lebih RM58 bilion (peningkatan berbanding tahun lalu). Peruntukan kesihatan turut meningkat lebih RM41 bilion dan Bantuan tunai terus (STR, SARA) turut dinaikkan bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan bekerja secara seimbang membela rakyat marhaen, melaksanakan reformasi fiskal, dan pada masa sama melabur untuk masa depan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menyarankan kepada semua pihak untuk berani membina masa depan dan bukannya sekadar mahu mengekalkan status quo.
Justeru, kerajaan kekal komited untuk membela rakyat, memperkukuh ekonomi, dan membangunkan negara dengan hala tuju yang lestari dan inklusif.
“Kerajaan Malaysia Madani tidak mahu mengulangi kegagalan seperti yang berlaku di Kedah dan Kelantan di bawah pentadbiran PAS, yang mengumumkan pelaburan tetapi gagal melaksanakannya.
“Tidak menyediakan asas ekonomi kukuh untuk menarik pelaburan sebenar dan mengabaikan infrastruktur asas yang menjadi asas pertumbuhan ekonomi,” tambahnya.
Baca juga: