KPDN berkas 2 lelaki seleweng minyak masak bersubsidi

NILAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak masak paket bersubsidi menerusi serbuan ke atas tiga premis berasingan di sini pada 23 Ogos lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia itu berhasil merampas sebanyak 180,200 kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama berjumlah RM490,500.

“Bagi membantu siasatan seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun bersama dua orang lagi lelaki warga asing yang juga merupakan pekerja syarikat berkenaan telah ditahan.

“Hasil siasatan awal, aktiviti yang disyaki telah didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini adalah bertujuan menyeleweng dan memindahkan (decanting) minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg 1kg untuk jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Armizan berkata, siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] termasuk bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi itu.

Tambah beliau, KPDN mengingatkan semua pihak terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi polibeg 1kg untuk lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.

“Selain pemborong dan peruncit, pihak syarikat pembungkus (repackers) juga tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan.

“Syarikat pembungkus (repackers) akan turt disiasat sekiranya sesuatu jenama yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dirampas dalam mana-mana operasi penguatkuasaan,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 29,487 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara melalui penguatkuasaan OPS TIRIS 3.0.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,005 kes direkodkan dengan 496 individu telah berjaya ditangkap melibatkan warga tempatan dan warga asing dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM80.11 juta.

Baca juga:


Anda Mungkin Berminat