Oleh: Syahirah Harish
PUTRAJAYA: Sebanyak 3,631 unit minyak pelincir disyaki tiruan berjaya dirampas dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam menjelaskan bahawa serbuan ini melibatkan tiga premis di Kuala Lumpur dan Selangor yang dipercayai terlibat dalam penjualan minyak pelincir dan minyak transmisi automatik tiruan jenama terkenal.
Menurutnya, operasi dijalankan oleh penguat kuasa KPDN selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagangan serta melakukan risikan awal.
“Selain minyak pelincir, turut dirampas ialah 3,605 unit minyak transmisi automatik, 710 unit penyejuk radiator, dan 190 unit penapis udara dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM396,469.00,” katanya.
Dalam serbuan itu, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan.
Tambah Azman, mereka yang terlibat disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM10,000 setiap unit atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Baca juga: