KPDN: Jualan Rahmah di Kelantan kurang beban rakyat

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan menyenaraikan sebanyak 93 lokasi bagi Program Jualan Rahmah peringkat negeri sepanjang Disember 2024.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, program yang baru dilancarkan itu bertujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas di Kelantan.

Menerusi program itu, katanya, barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung dijual dengan harga subsidi pada kadar 10 hingga 30 peratus.

“Usaha itu untuk memastikan orang ramai terus mempunyai akses barangan keperluan asas yang mendapat subsidi harga daripada kerajaan.

“Ia sekali gus dapat mengekang sebarang kenaikan harga yang mungkin berlaku akibat peningkatan permintaan serta cabaran bekalan di kawasan banjir, serta dapat memastikan tiada lonjakan harga yang membebankan rakyat ketika musim tengkujuh.

“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat mendapat bantuan segera dalam menghadapi situasi sukar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mulai 2 Disember, program berkenaan sudah pun berlangsung di enam lokasi yang terkesan banjir melibatkan Parlimen Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Rantau Panjang dan Bachok.

Sebelum ini, KPDN Kelantan melantik 133 pemborong dan peruncit dengan menambah kuota stok bekalan sebanyak 30 peratus.

Selain itu, sebanyak 15 stesen minyak turut dilantik mulai November 2024 hingga Mac 2025.

Setakat jam 2.30 petang Selasa, jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 46,863 orang.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa daripada 14,891 keluarga berlindung di 101 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat