Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa komited untuk menangani isu penyelewengan bahan api diesel bersubsidi.
Tekad ini sejajar dengan fokus kerajaan untuk membanteras sebarang bentuk ketirisan subsidi yang sering dipertegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa KPDN meletakkan ketangkasan penguatkuasaan sebagai satu daripada agenda fokus pada tahun 2024.
Jelasnya, strategi utama KPDN bagi membanteras penyelewengan barang bersubsidi yang dilaksanakan meliputi tiga aspek iaitu penguatkuasaaan, pengurusan risiko dan patisipasi masa.
“Gerak kerja penguatkuasaan dilaksanakan melalui Ops Tiris yang telah bermula pada bulan Mac 2023 dan berdasarkan statistik Ops Tiris 3.0, Januari hingga 19 Oktober 2024, KPDN telah melakukan 30,634 pemeriksaan dan menghasilkan sebanyak 1,561 kes melibatkan penyelewengan diesel.
“Statistik keseluruhan meliputi serahan kes melibatkan agensi penguatkuasaan lain pula merekodkan jumlah rampasan diesel bersubsidi ada sebanyak 13.8 juta liter yang dianggarkan bernilai lebih RM31 juta.
“Selain itu, KPDN juga memperkasa kerjasama dengan agensi pengutkuasaan lain yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Ops Tiris,” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan berkata bahawa KPDN telah melaksanakan pembatalan dan penggantungan lesen barang kawalan berjadual melibatkan penjualan diesel pada peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
“Dalam masa yang sama, penguatkuasaan ketat terhadap permit barang kawalan berjadual adalah merupakan salah satu strategi selain melaksanakan tindakan-tindakan yang melibatkan aspek pengurusan risiko dan patisipasi masa,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Roy Angau Gingko (GPS-Lubok Antu) mengenai tindakan tegas yang diambil bagi membanteras penyelewengan diesel subsidi di Malaysia ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Baca juga: