PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan OPS Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan menjelang bulan Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada bekalan dan harga barangan utama seperti gula, ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum serta bahan-bahan untuk kuih-muih yang sering menjadi pilihan rakyat ketika musim perayaan.
“Pemeriksaan akan dilakukan untuk memastikan semua barang tersebut dijual dengan harga yang sah tanpa berlaku pencatutan dan mematuhi harga yang diwartakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Selain itu katanya, KPDN turut akan memantau premis yang mengadakan jualan murah, bazar Ramadan dan Aidilfitri serta penjualan secara dalam talian bagi mengelakkan penipuan dan aktiviti penjualan barangan tiruan yang tidak berkualiti.
“Pegawai penguat kuasa kami akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar raya, pasar awam, pasar basah, kedai runcit serta bazar Ramadan dan Aidilfitri.
“Ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Peniaga yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), dengan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi individu,” katanya.
Sehubungan itu, KPDN menyeru orang ramai agar turut serta dalam usaha memantau dan melaporkan sebarang salah laku melalui saluran yang disediakan, termasuk WhatsApp 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800 dan [email protected].








