KPDN Lancar Aplikasi ez-TTPM, Permudah Akses Tuntutan Pengguna Secara Digital

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melangkah setapak ke hadapan dalam memperkasa hak pengguna dengan pelancaran aplikasi ez-TTPM, sebuah inovasi digital yang memudahkan rakyat memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Pelancaran rasmi disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sempena Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Zon Tengah 2025.

Pada fasa awal pembangunan, pengguna sudah boleh memfailkan tuntutan, memuat naik dokumen serta menyemak status kes melalui portal TTPM tanpa perlu hadir ke pejabat.

Kini, menerusi fasa kedua, aplikasi ez-TTPM diperkenalkan untuk dimuat turun di peranti pintar, memberi kemudahan lebih pantas dan mesra pengguna, khususnya bagi masyarakat luar bandar.

“Inovasi ini mengurangkan kos, masa menunggu dan membuka ruang akses kepada lebih ramai pengguna,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sejak 1 Januari hingga 14 November 2025, TTPM merekodkan 9,203 pemfailan tuntutan bernilai RM77.2 juta dengan 6,881 kes berjaya diselesaikan.

KPDN berkata, setiap tuntutan akan didaftarkan pada hari sama ia difailkan, manakala pendengaran kes diselesaikan dalam tempoh 60 hari iaitu satu pencapaian yang menekankan keberkesanan sistem baharu itu.

Karnival KPDN & KBBM Zon Tengah yang berlangsung di Selangor dari 21 hingga 23 November turut menampilkan pelbagai tarikan seperti Program Jualan RAHMAH MADANI (edisi Back to School), reruai produk tempatan, persembahan hiburan serta pameran rakan strategik termasuk Al-Ikhsan, Shell, Petronas, TikTok dan Astro.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor perdagangan pengedaran mencatat nilai jualan RM1.766 trilion pada 2024, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sehingga September 2025, nilai jualan sudah mencecah RM1.381 trilion, menunjukkan momentum ekonomi domestik yang terus berkembang.

Pelancaran aplikasi ez-TTPM dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh ekosistem pengguna, bukan sahaja daripada segi perlindungan hak tetapi juga dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang semakin dinamik.

Anda Mungkin Berminat