KPDN lancar Ops Pantau sempena Ramadan, Aidilfitri 2025

PETALING JAYA: Ops Pantau 2025 telah dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan pematuhan peniaga sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan tumpuan di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.

“Pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2025 memfokuskan pemantauan ke atas beberapa aspek termasuk bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, perbahasaan halal dan penjualan barang keperluan Hari Raya Aidilfitri.

“KPDN juga akan meningkatkan keberadaan anggota penguat kuasa di lokasi yang sering dikunjungi pengguna termasuk melalui penggunaan van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR), kereta peronda, dan Unit Ronda Bermotosikal,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Selain itu, Armizan berkata, KPDN akan mengoptimumkan pengoperasian Pusat Arahan Penguat Kuasa yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam.

Katanya, ianya adalah untuk memastikan tindakan susulan segera diambil terhadap sebarang aduan, maklumat dan pertanyaan pengguna.

“Semua peniaga diingatkan untuk mematuhi perundangan berkaitan dan memberikan komitmen terhadap gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT),” katanya.

Anda Mungkin Berminat