KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menasihatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan berikutan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai ini.
Seiring dengan pelaksanaan dasar baharu cukai itu, KPDN akan menggerakkan Ops Kesan 4.0 di seluruh negara bagi memantau dan menguatkuasakan peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).

“Fokus operasi ini adalah memastikan peniaga di semua peringkat tidak menaikkan harga secara tidak munasabah dan bertentangan dengan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan rasmi kementerian, petang ini.
Skop pemantauan meliputi barangan dan perkhidmatan yang terlibat secara langsung dengan semakan kadar SST serta barangan keperluan asas yang tidak terlibat, bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan harga.
KPDN menyeru para peniaga untuk memberikan kerjasama penuh, dan mengingatkan bahawa sebarang cubaan menaikkan harga sesuka hati akan dikenakan tindakan tegas.
“Langkah ini penting bagi melindungi kepentingan pengguna dan memastikan kestabilan harga di pasaran,” jelas kenyataan itu.
Baca juga: