KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau 2026 bermula 19 Februari hingga 20 Mac bagi memantau kepatuhan peniaga terhadap undang-undang sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri.
Menurut kenyataan kementerian di laman Facebook rasmi hari ini, operasi itu memberi tumpuan kepada pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan utama rakyat pada musim perayaan.
“Antara barangan yang dipantau termasuk gula, ayam, telur, minyak masak, tepung gandum, barangan basah serta bahan membuat kuih-muih.
“Pemantauan dijalankan bagi memastikan setiap barangan mempamerkan tanda harga, tiada unsur pencatutan serta barangan kawalan dijual mengikut harga yang diwartakan kerajaan,” menurut kenyataan tersebut.
Ops Pantau 2026 turut merangkumi premis jualan murah, bagi memastikan tiada iklan mengelirukan pengguna, selain pemantauan di bazar Ramadan dan Aidilfitri untuk membanteras penjualan barangan tiruan.
Selain itu, aktiviti penjualan dalam talian yang melanggar undang-undang juga akan dipantau. Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara ditugaskan di lokasi strategik termasuk pasar raya, pasar awam, bazar serta platform e-dagang bagi melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.
Baca juga:








