PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan penangguhan penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024 selama enam bulan, susulan maklum balas daripada industri berkaitan.
Perintah tersebut yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 7 April depan, akan bermula pada 7 Oktober bagi memberi ruang kepada pemain industri menghabiskan stok minyak enjin sedia ada di pasaran serta menyelesaikan isu teknikal berkaitan pelabelan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, walaupun penangguhan diberikan, industri diminta bersiap sedia dan memastikan semua produk minyak enjin yang dijual selepas tempoh itu mempunyai label sah dari SIRIM.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengimport, pengedar atau penjual yang gagal mematuhi perintah ini selepas 7 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menerusi perintah ini, semua minyak enjin kenderaan motor yang dijual di pasaran tempatan diwajibkan mempamerkan label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM), sebagai langkah menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna.
Menurut beliau lagi, syarikat yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM200,000 manakala individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
KPDN juga akan meneruskan sesi libat urus dengan pihak industri bagi memastikan pelaksanaan perintah tersebut berjalan lancar.