KPDN Perangi Kenaikan Harga Tidak Munasabah Pasca SST Baharu

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan OPS KESAN 4.0 secara menyeluruh di seluruh negara bermula 1 Julai, sebagai tindak balas terhadap pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil, operasi itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menjamin keadilan kepada pengguna serta memastikan kelangsungan perniagaan yang beretika.

“Tindakan bersama antara penguat kuasa, peniaga yang bertanggungjawab dan rakyat adalah kunci kejayaan mengekang pencatutan serta memastikan pasaran kekal adil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, skop penguatkuasaan merangkumi pelbagai kategori perniagaan seperti pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit.

Malah, katanya, barangan keperluan asas turut diperiksa walaupun tidak terlibat secara langsung dalam semakan SST bagi mengekang amalan tidak beretika dalam rantaian bekalan.

Shamsul Nizam berkata, fokus siasatan utama melibatkan semakan barang dan perkhidmatan yang terlibat, status pendaftaran syarikat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), tempoh perubahan harga dan margin keuntungan.

“Keempat-empat aspek ini digunakan untuk mengenal pasti sama ada kenaikan harga adalah munasabah atau berlaku pencatutan,” katanya.

Tambah beliau, dalam masa lapan hari, sebanyak 375 premis melibatkan 1,698 jenis barangan telah diperiksa.

“Hasilnya, enam Notis Hadir dikeluarkan, dua syarikat bersetuju menangguhkan kenaikan harga selepas diberikan teguran.

“Setakat ini, 17 aduan berkaitan OPS KESAN 4.0 diterima dan sedang disiasat,” katanya.

KPDN menegaskan akan mengambil tindakan tegas termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu dan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat yang mencatut.

OPS KESAN 4.0 adalah sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR, dilancarkan pada 19 Oktober 2024 yang bertujuan membanteras manipulasi serta ketidakpatuhan dalam urus niaga perdagangan.

Anda Mungkin Berminat