KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh kedudukan produk tempatan di pentas global dengan menjadikan harta intelek sebagai teras utama pembangunan ekonomi rakyat.
Usaha itu digerakkan melalui program Jelajah Harta Intelek yang dilaksanakan di seluruh negara oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Program tersebut bertujuan mengenal pasti, melindungi serta mengkomersialkan produk tempatan yang memiliki nilai geografi, budaya dan ekonomi tinggi.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perlindungan harta intelek adalah strategi penting untuk meningkatkan daya saing produk Malaysia.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan produk tempatan memiliki perlindungan sah serta mampu meningkatkan daya saing di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pemilikan harta intelek yang kukuh bukan sahaja melindungi produk, malah membuka peluang ekonomi mampan kepada komuniti setempat dan usahawan tempatan.
Menurut beliau, program terbaharu ini memberi tumpuan kepada Desa Tea Sdn. Bhd., pengeluar Sabah Tea di Ranau, yang bukan sekadar terkenal sebagai minuman tetapi turut berkembang menjadi ekosistem perniagaan merangkumi sektor pelancongan, hospitaliti dan produk hiliran berasaskan identiti tempatan.
“Sabah Tea bukan sahaja berkembang sebagai produk minuman, malah menjadi ekosistem perniagaan yang merangkumi sektor pelancongan, hospitaliti dan produk hiliran berasaskan identiti tempatan,” katanya.
Sabah Tea merupakan antara produk terawal di Sabah yang menerima perlindungan Petunjuk Geografi (GI), sekali gus memperkukuh identiti berdasarkan asal usul dan keunikan tempatan.
Armizan berkata, sehingga April 2026, Malaysia telah merekodkan 130 produk GI berdaftar, dengan Sabah menyumbang sebanyak 31 pendaftaran, menjadikan negeri itu antara penyumbang utama portfolio GI negara.
Katanya, antara produk Sabah yang menerima pengiktirafan GI termasuk kopi Tenom, minyak kelapa dara Borneo, rumpai laut Sabah, koko Tawau, halia Tambunan dan Batik Sabah.
Menurutnya, KPDN bersama MyIPO kini sedang membangunkan Pelan Pembangunan Harta Intelek Sabah 2026-2030 bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi dan penjenamaan produk tempatan.
“KPDN melalui MyIPO akan terus memperkukuh agenda pembangunan harta intelek sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi rakyat khususnya dalam meningkatkan potensi produk tempatan yang berteraskan identiti dan warisan tempatan,” ujarnya.








