PARLIMEN | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan penganjuran sebanyak 20,000 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di semua 222 kawasan Parlimen menjelang akhir tahun ini, sebagai usaha berterusan untuk membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sasaran itu ditetapkan selaras dengan peningkatan peruntukan kerajaan bagi memperluas pelaksanaan PJRM di seluruh negara.
Menurut beliau, sehingga Julai lalu, sebanyak 13,060 siri PJRM telah berjaya dianjurkan, mencatatkan lebih 15.6 juta transaksi yang memberi manfaat langsung kepada pengguna.
“PJRM adalah salah satu inisiatif di bawah Payung Rahmah yang menjadi mekanisme intervensi untuk membantu meringankan kos sara hidup.
“Program ini menawarkan barangan keperluan harian, makanan dan bukan makanan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran di kawasan terlibat,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Wong Shu Qi (PH–Kluang) yang meminta penjelasan mengenai strategi dan inisiatif baharu bagi memastikan peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta untuk PJRM benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
Armizan menjelaskan bahawa penambahbaikan PJRM akan melibatkan tiga elemen utama iaitu peningkatan kekerapan penganjuran, peluasan jenis barangan dan kepelbagaian model pelaksanaan.
“Bilangan siri jualan akan ditingkatkan daripada sasaran awal 15,360 kepada 20,000 sehingga Disember 2025.
“SKU baharu juga akan ditambah mengikut keperluan tempatan dan musim perayaan termasuk keperluan sekolah, barangan basah dan keperluan pelajar.
“PJRM akan dilaksanakan melalui tiga model iaitu jualan di premis, jualan di kawasan terbuka serta jualan bergerak,” katanya.








