Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan ke atas kedai serbaneka di Presint 3, Putrajaya ekoran menjual produk berlabel ‘No Palm Oil’.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya yang bermula pada pukul 11.45 pagi, adalah hasil aduan awam yang diterima oleh pihak Kementerian.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemui produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan ‘No Palm Oil’.
“Kesemua produk aiskrim itu disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60.
“Kes ini akan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 sehingga 2 Mei 2024 di bawah perundangan tersebut, sebanyak 5,057 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara ke atas premis pelbagai peringkat rantaian pengedaran dan daripada jumlah itu, sebanyak empat kes telah didapati.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk yang diimport dari luar negara yang tidak mematuhi perundangan berkaitan.
“Jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barang-barang yang membabitkan komoditi utama negara iaitu minyak kelapa sawit,” katanya.
Baca juga: