KPDN tahan wanita disyaki terlibat dalam pembuatan ubat batuk palsu di Negeri Sembilan

Seorang wanita berusia 38 tahun ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ekoran disyaki bertanggungjawab dalam memproses ubat batuk tiruan di sebuah kilang di Mantin, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Penguat kuasa Datuk Azman Adam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), berkata, pihaknya merampas 10,000 botol ubat batuk yang telah siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk tujuan memproses ubat batuk itu.

“Kesemua bahan-bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM236,516,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Jumaat.

Tambah beliau operasi bersepadu itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) susulan aduan yang diterima serta risikan awal oleh KKM selama tiga bulan sebelum serbuan.

Tambah beliau, dua bangunan industri atau kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan ubat batuk tiruan itu turut disita dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2.6 juta.

“Susulan serbuan itu, sebanyak 56 akaun turut dibekukan melibatkan sembilan entiti dengan empat daripadanya merupakan akaun syarikat, manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta,” katanya.

Syarikat tersebut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram, manakala wanita itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

KKM turut akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366] yang mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat