KPDN Tumpas Sindiket Campur Minyak Masak Bersubsidi

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket yang mencampurkan minyak masak peket bersubsidi dengan minyak terpakai untuk dijual pada harga lebih tinggi di Selangor.

Sindiket ini dibongkar menerusi dua serbuan berasingan di Taman Kajang Jaya dan Bandar Rinching pada Selasa lalu.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu menahan 11 warga asing dan empat rakyat tempatan berusia antara 25 hingga 45 tahun.

“Pasukan serbuan menyerbu rumah kediaman yang dijadikan stor haram untuk memotong minyak masak paket satu (1) kilogram (kg) bersubsidi, sebelum dikumpulkan dan dihantar ke premis menjual minyak masak terpakai di Semenyih,” katanya.

Dalam serbuan kedua, pihak berkuasa menyerbu premis perniagaan yang disyaki menjual dan membeli minyak masak terpakai di Bandar Rinching.

Premis ini disyaki berselindung di sebalik perniagaan membeli dan menjual minyak masak terpakai, menjadikannya tempat pengumpulan dan pengedaran minyak masak tanpa lesen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

“Hasil serbuan menemukan 14,340 kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama yang telah dipotong bungkusan dan dikumpulkan di dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC),” tambah Armizan.

Beberapa peralatan lain seperti hos penyambung, pam bermotor, telefon bimbit, dan tangki IBC turut dirampas hasil daripada serbuan itu.

KPDN menyita semua minyak masak terbabit, peralatan, tiga buah lori, sebuah kereta dan beberapa dokumen perniagaan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM429,850.

Mengulas lanjut, kata Armizan, Mahkamah Majistret Kajang meluluskan permohonan reman bagi kesemua yang ditahan selama empat hari bermula 13 hingga 16 November 2024.

“KPDN akan mengambil tindakan tegas termasuk penggantungan dan pembatalan lesen ke atas mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti haram ini,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat