SEBERANG PERAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi selepas menyerbu sebuah gudang di Sungai Jawi, dekat sini dipercayai beroperasi secara haram sejak tiga bulan lalu.
Serbuan dijalankan hasil risikan selama sebulan menerusi Ops Tiris 3.0 selepas kementerian mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, menerusi operasi itu, KPDN menemui minyak masak paket satu kilogram dianggarkan seberat 5,720 kilogram yang telah dipotong bungkusan asal dan dipindahkan ke dalam botol lima kilogram serta tong biru berkapasiti 150 liter untuk dijual semula secara tidak sah.
Turut dirampas beberapa peralatan termasuk mesin pam, gunting, plastik bungkusan pelbagai jenama serta dokumen berkaitan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM16,000.
“Hasil siasatan mendapati gudang itu telah beroperasi tanpa lesen atau permit sah untuk mengurus dan menyimpan barang kawalan berjadual,” kata Pengarah KPDN Pulau Pinang, R. S. Jegan.
Seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Menurut Jegan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM16,892 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi pemantauan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan barangan bersubsidi agar manfaatnya kekal dinikmati rakyat.
Baca juga:








