PUTRAJAYA: Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB) terus mencatat prestasi memberangsangkan selepas lebih empat dekad beroperasi bersama peserta FELCRA di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, koperasi yang bermula sebagai gerakan berteraskan kebajikan itu kini berkembang sebagai entiti matang yang diurus secara profesional dan berupaya menjana pulangan sebenar kepada ahlinya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Perwakilan KPFB Kali Ke-43, malam tadi, sebagai penghargaan kepada kepimpinan, perwakilan serta seluruh warga koperasi yang terus konsisten menggalas amanah membangunkan ekonomi peserta FELCRA.
Menurut beliau, berlandaskan prestasi kewangan yang stabil serta pengurusan berkesan, dividen berasaskan operasi KPFB bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan pada kadar 15 peratus.
“Ini membuktikan bahawa koperasi yang diurus dengan baik mampu memberikan pulangan yang adil dan mampan kepada ahlinya,” katanya.
Beliau turut berharap KPFB terus melangkah lebih jauh sebagai pemacu ekonomi koperasi peserta FELCRA, selain menjadi contoh kepada gerakan koperasi di Malaysia.








