KPKM Jalin Kerjasama Dengan Jabatan Pertanian AS, Modenkan Pengeluaran Jagung Bijirin

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) bagi memodenkan pengeluaran jagung bijirin khususnya untuk kegunaan makanan ternakan.

Dalam kenyataan media pada Khamis, KPKM memaklumkan perkara itu dibincangkan semasa pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bersama Timbalan Setiausaha Perdagangan dan Hal Ehwal Pertanian Luar USDA, Luke Lindberg.

Pertemuan tersebut berlangsung bersempena misi perdagangan Amerika Syarikat ke Malaysia pada 14 hingga 15 Januari 2026.

Menurut kementerian, kerjasama itu dijangka memperkukuh keupayaan sektor agromakanan negara melalui penerapan teknologi moden.

“Perbincangan dua hala itu turut membuka ruang kepada potensi kerjasama teknikal dan pelaburan antara kedua-dua negara termasuk dalam bidang mekanisasi dan automasi, teknologi digital, pembangunan pertanian pintar, penambahbaikan varieti benih serta penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) untuk meningkatkan produktiviti.

“Antara bidang yang diberi penekanan termasuk penggunaan mekanisasi dan automasi, teknologi digital, pembangunan pertanian pintar, penambahbaikan varieti benih serta penerapan teknologi Internet of Things (IoT),” kata KPKM.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Duta Besar AS ke Malaysia, TYT Edgard D. Kagan, yang menekankan kepentingan memperkukuh rantaian bekalan makanan serta meningkatkan keupayaan pengeluaran domestik.

Untuk info, nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dan Amerika Syarikat bagi tempoh Januari hingga September 2025 mencecah RM14.68 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan AS sebagai rakan strategik penting Malaysia dalam rantaian bekalan makanan global.

Anda Mungkin Berminat