PARLIMEN | Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, pada Selasa menjawab soalan di Dewan Rakyat daripada Ahli Parlimen Tanjong Karang berhubung isu penurunan hasil padi, penggunaan tenaga kerja warga asing dan tanaman kontan di kawasan sawah.
Beliau berkata, pesawah kini berdepan cabaran besar sejak beberapa musim kebelakangan ini termasuk serangan perosak, penyakit Karah dan Hawar Daun Bakteria selain cuaca ekstrem seperti ribut, kemarau dan banjir.
Menurutnya, semua faktor itu memberi kesan langsung kepada hasil tuaian padi negara.
Beliau berkata, infrastruktur pengairan yang semakin uzur menambah tekanan kepada pesawah.
“Sebab itulah KPKM sedang menaik taraf beberapa lokasi penting termasuk Kolam Takungan Parit 4 di Sungai Haji Dorani, Peket 20 dan kawasan-kawasan lain bagi memastikan bekalan air lebih stabil dan teratur,” katanya.
Mengenai isu kebanjiran warga asing di sawah, beliau berkata, hal ehwal tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Namun KPKM akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memperkemas tadbir urus agar sektor padi sentiasa terjamin dan sawah kita tidak tergadai kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau menambah bahawa segala usaha yang dilaksanakan mempunyai satu tujuan utama iaitu bagi memastikan pesawah dapat hidup dengan pendapatan lebih baik, hasil padi kembali meningkat dan negara kekal terjamin dari segi pengeluaran makanan.
“Insya-Allah, saya bersama seluruh pasukan KPKM akan terus bekerja keras bersama pesawah, agensi dan kerajaan negeri demi masa depan makanan negara,” katanya.








