KPKM setuju pembekal boleh import daging babi tangani isu ASF

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil perhatian isu yang telah dibangkitkan oleh para pemain industri babi tempatan mengenai kekurangan bekalan daging babi tempatan.

Ia berlaku akibat penutupan beberapa ladang di Selangor baru-baru ini, berikutan penularan penyakit Demam Babi Afrika (African Swine Fever).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata satu mesyuarat bersama Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi telah diadakan dengan persatuan telah menyatakan hasrat untuk mengimport daging babi dari Thailand, Brazil dan China sebagai langkah untuk menangani isu ini.

“Justeru, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan meneliti cadangan tersebut. Untuk makluman pada masa kini, Malaysia boleh terus mengimport daging babi dari banyak negara Eropah, Australia, USA, Kanada dan United Kingdom.

“Oleh itu, pengimport disarankan untuk segera mengimport daging babi dari negara-negara tersebut terlebih dahulu.

“Pihak persatuan turut mencadangkan kawalan harga ke atas daging babi. Sehubungan cadangan ini, KPKM akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengkaji cadangan tersebut, memandangkan bahawa penetapan harga adalah di bawah peruntukan Akta 723, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Selain mengakibatkan kerugian besar kepada penternak, ASF turut mengakibatkan peningkatan harga daging babi segar tempatan yang sangat tinggi yang memberi kesan kepada pengguna.

Sebagai pelan jangka panjang dalam menangani isu ASF, KPKM ingin menyeru semua pemain industri babi untuk mentransformasi ladang masing-masing kepada sistem Modern Pig Farming (MPF) yang terbukti bebas penyakit.

“Dalam hal ini, KPKM mengalu-alukan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perak, dan Sabah terhadap pelaksanaan MPF.

“Ini termasuk usaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Negeri Sembilan dengan pengezonan Pig Farming Area (PFA) khusus untuk industri babi di negeri tersebut. MPF dan PFA merupakan konsep perladangan moden dengan penerapan sistem terkini yang mampu meningkatkan tahap biosekuriti ladang bagi mengurangkan risiko penularan penyakit,” katanya lagi.

Lazimnya, kawalan harga babi hanya dilaksanakan ketika musim perayaan berikutan permintaan yang tinggi.

Mohamad Sabu berkata dengan pelaksanaan langkah-langkah tersebut, isu bekalan babi akan kembali stabil demi untuk kepentingan pengguna dan penternak ke arah pencapaian Kadar Sara Diri 90 peratus daging babi tempatan menjelang tahun 2030.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat