KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membaik pulih dan membina semula rumah untuk ribuan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara pada tahun 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyokong isi rumah yang terdedah dan memerlukan bantuan.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, RM45.06 juta disalurkan untuk pembaikan rumah manakala RM14.94 juta untuk pembinaan rumah baharu.
“KPKT juga memperuntukkan RM12 juta bagi Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB),” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Program PEKB menurut beliau, bertujuan memperkasa isi rumah B40 melalui latihan kemahiran, literasi kewangan dan sokongan asas keusahawanan yang dijalankan bersama NGO berdaftar.
Selain itu, Nga turut menekankan kemajuan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang memberi peluang kepada pembeli rumah pertama tanpa dokumen pendapatan tetap termasuk pekerja gig dan individu bekerja sendiri untuk memiliki kediaman.
“Sehingga Ogos tahun ini, kita telah membantu 95,460 pembeli rumah mencapai impian memiliki kediaman dengan jumlah pinjaman terjamin sebanyak RM22.7 bilion,” katanya.








