PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM107.68 juta bagi memperkukuh pembangunan perumahan rakyat di Johor, sekali gus menjamin kesejahteraan komuniti setempat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu meliputi projek baharu, kerja naik taraf serta penyenggaraan perumahan sedia ada agar manfaat dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Larkin bagi meninjau keadaan setempat dan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Lawatan itu turut disertai EXCO Perumahan Johor, Datuk Hasni Mohammad dan ADUN Larkin, Hairi Md Shah.
Menurut Nga, di bawah Program Penyenggaraan Perumahan (PPP), Johor menerima RM20.58 juta atau 8.85 peratus daripada keseluruhan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Selain itu katanya, sebanyak RM5.1 juta diluluskan pada 2025 bagi melaksanakan 18 projek baharu.
Antara projek utama ialah penggantian empat lif bomba dan empat lif penumpang di Rumah Pangsa Awam/Rumah Sewa Kerajaan (RPA/RSK) Larkin dengan kos RM4.84 juta, dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor.
Selain itu, Nga turut mengumumkan pelaksanaan Projek Residensi Rakyat (PRR) Larkin bernilai RM82 juta, yang bakal memperluas penyediaan perumahan berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Johor.
“KPKT komited memastikan projek perumahan dilaksanakan mengikut jadual serta selamat didiami, di samping terus menambah baik kemudahan untuk keselesaan penduduk,” katanya.
KPKT melalui agenda Reformasi Perumahan MADANI menetapkan sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.
Langkah itu selari dengan usaha kerajaan memperkukuh dasar perumahan inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat.








