SHAH ALAM: Senyuman kembali terukir di wajah 18 keluarga mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya apabila kediaman mereka yang musnah pada 1 April lalu kini siap dibaik pulih dan dibina semula sepenuhnya.
Majlis penyerahan kunci rumah baharu itu disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Projek Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, sebagai sebahagian daripada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025.
Menurut KPKT, projek pemulihan itu dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan peruntukan keseluruhan RM4.85 juta, membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
“Penghargaan kepada SPNB atas pelaksanaan projek yang cekap serta menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu.
KPKT berkata, langkah pemulihan bermula dengan Sidang Media Khas pada 30 April 2025, diikuti surat lantikan rasmi KPKT kepada SPNB pada 7 Mei, sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 3 Jun.
“Kecekapan pelaksanaan ini membolehkan mangsa kembali ke kediaman yang selamat, stabil dan selesa dalam tempoh singkat,” katanya.
Dalam majlis sama, Nga turut mengumumkan pencapaian cemerlang Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dilaksanakan oleh SPNB.
Pelancaran Aplikasi MyRMR menjadi sorotan, dengan dua modul utama iaitu pemohon dan pegawai SPNB bagi memudahkan proses permohonan, pemantauan dan pengurusan program secara digital.
Untuk rekod, SPNB berjaya melepasi sasaran asal pembinaan 23,000 unit RMR bagi tahun 2025 dengan peruntukan RM1.92 bilion.
Kerajaan MADANI kemudian menambah peruntukan kepada RM2.13 bilion untuk membina 26,272 unit RMR, demi menampung keperluan perumahan rakyat berpendapatan rendah.
Sehingga Oktober 2025, sebanyak 74,957 unit RMR telah berjaya disiapkan di seluruh negara.
“Kejayaan menyiapkan rumah mangsa kebakaran Putra Heights serta pencapaian memberangsangkan Program RMR menjadi bukti komitmen berterusan KPKT dan SPNB dalam memperkukuh agenda perumahan negara.
“SPNB akan terus memastikan penyediaan perumahan berkualiti dan mampu milik diberikan keutamaan, demi menjamin setiap keluarga menikmati kehidupan lebih sejahtera dan selamat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.








