PETALING JAYA: Dalam usaha memulihkan semangat dan kehidupan mangsa tragedi letupan di Putra Heights, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan pelan pemulihan komprehensif.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, pelan itu bukan sahaja memberi fokus kepada pembinaan semula rumah-rumah yang terjejas tetapi juga memastikan infrastruktur awam di kawasan bencana dipulihkan dengan segera.
“Penubuhan ‘special task force’ yang terdiri daripada pelbagai agensi kementerian termasuk Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) adalah bukti komitmen kerajaan dalam membantu mangsa,” katanya.
Menurut KPKT, pelan tindakan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani krisis ini.
Tambahnya, selain itu, peruntukan sebanyak RM2 juta telah disalurkan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk membaik pulih infrastruktur awam yang terjejas.
Difahamkan, kerja-kerja pembersihan kawasan bencana juga akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SWCorp pada 12 dan 13 April ini.