PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan bagi meneliti keperluan pelaksanaan semula Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata sebarang dapatan daripada kajian yang dijalankan oleh majlis berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan muktamad dibuat.
Menurut beliau, kajian semula itu turut mengambil kira pandangan serta permintaan ibu bapa yang masih mengharapkan peperiksaan berkenaan dipertimbangkan semula.
“Laporan hasil kaji selidik dan dapatan berkaitan akan dikemukakan kepada Kabinet untuk diputuskan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu kementerian, di sini hari ini.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, dengan kedua-duanya digantikan oleh Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Baca juga:








