KPM ambil alih pendidikan 300 anak pengikut GISBH

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil alih aspek pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global mulai 1 Oktober ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, program pendidikan untuk kanak-kanak tercicir berkenaan yang tidak mendapat sebarang pendidikan formal sebelum ini, akan menggunakan modul khas di tempat perlindungan mereka sekarang.

“Proses pendidikan itu akan berlaku di tempat mereka dilindungi. Ketika ini mereka sedang melalui beberapa penilaian termasuk aspek 3M (membaca, menulis, mengira) dan psikososial.

“Selepas selesai semua sesi, baru KPM akan ambil alih bagi aspek pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KPM di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, pendidikan berdasarkan modul khas itu mengikut tiga kohort iaitu prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Ratusan kanak-kanak tersebut terdiri daripada anak pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) berjaya diselamatkan polis melalui operasi yang dilaksanakan di beberapa negeri sehingga kini.

Anda Mungkin Berminat