KPM Ambil Tanggungjawab Penuh Atas Kehilangan Dua Guru Pelatih

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan komitmen penuh terhadap keadilan dan keselamatan selepas dua guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampung Perlis terkorban dalam kemalangan ketika mengikuti Program Pendidikan di Luar Kampus, Sabtu lalu.

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek, hadir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada Isnin untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang dan Joey Ling Lin Siang, selain bertemu keluarga terdekat bagi menyampaikan ucapan takziah.

“Kementerian mengambil tanggungjawab penuh atas kemalangan yang berlaku.

“Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga. Siasatan yang telus, tuntas dan menyeluruh sedang berjalan.

“Sebarang pelanggaran peraturan akan dikenakan tindakan dan tiada siapa yang akan dilindungi,” katanya dalam kenyataan media.

Sebagai langkah segera, beberapa pegawai yang terlibat secara langsung dalam penganjuran program tersebut telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis sehingga siasatan selesai.

KPM turut meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti luar kampus yang melibatkan semua institusi di bawah kelolaannya dengan tujuan memperkukuh aspek keselamatan dan mengelakkan tragedi berulang.

Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua guru pelatih ditemukan lemas selepas kayak yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak di perairan Pantai Merdeka.

Mayat mangsa kemudian ditemukan tersangkut pada jaring nelayan tempatan dalam keadaan masih memakai jaket keselamatan.

Anda Mungkin Berminat