KPM Arah Murid SK Balaban Jaya dipindah sementara ke SK Pekan Beluran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu berkaitan akses pendidikan dan keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, Sabah, susulan keadaan infrastruktur sekolah yang terjejas.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan isu itu berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun, sekali gus menjadikan kawasan sekolah tidak selamat untuk digunakan sepenuhnya.

“Isu ini berpunca daripada pergerakan tanah dan cerun yang menjejaskan sebahagian infrastruktur sekolah,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut KPM, beberapa sesi libat urus (SLU) telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bersama pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari penyelesaian terbaik.

“KPM melalui JPN Sabah telah melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama ibu bapa dan komuniti setempat,” kata kenyataan itu.

Sebagai langkah segera, murid SK Balaban Jaya akan dipindahkan sementara ke SK Pekan Beluran dengan kemudahan pengangkutan turut disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan pelajar.

“Langkah ini bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas serta tidak membebankan ibu bapa,” menurut KPM.

Selain itu, kerja naik taraf di SK Sungai Nangka akan dilaksanakan segera bagi menampung keperluan penyuraian murid sementara menunggu pembinaan baharu SK Balaban Jaya.

KPM menegaskan pihaknya akan memastikan aspek pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan semua murid terlibat terus diberi perhatian sepenuhnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat