PETALING JAYA: Susulan peningkatan kandungan lucah dan tidak bermoral melibatkan murid sekolah di media sosial, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan kurikulum baharu bermula sesi akademik 2027 yang memberi penekanan terhadap pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.
Dalam kenyataannya, KPM memaklumkan bahawa modul Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan ditambah baik serta diberikan lebih banyak masa pengajaran bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid, guru dan ibu bapa.

“Semua institusi pendidikan KPM diminta mematuhi garis panduan sedia ada dalam menangani isu gangguan seksual yang sedang diguna pakai,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, khidmat sokongan psikososial juga akan terus diperkukuh bagi membantu murid yang terkesan dengan isu berkaitan.
Langkah ini diambil selepas tular beberapa kes di media sosial termasuk pendedahan pempengaruh, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, mengenai kewujudan kumpulan dalam talian yang menjadikan gambar murid sekolah rendah sebagai bahan fantasi seksual.

Susulan tindakan tegas oleh warganet yang berjaya melaporkan salah satu akaun terbabit, muncul pula akaun lain yang menawarkan aktiviti mencurigakan dengan bayaran tertentu, seperti didedahkan pempengaruh Reina Lum menerusi platform TikTok.
KPM menegaskan pihaknya memandang serius laporan media dan pendedahan awam berkaitan isu gangguan seksual yang melibatkan pelajar.
Dalam masa sama, kementerian itu turut menyeru agar ibu bapa memainkan peranan proaktif di rumah dengan mendidik dan melindungi anak-anak daripada ancaman seksual.
“Mereka bertanggungjawab memastikan maruah anak-anak dipelihara,” tegas KPM.
Baca juga: