KPM Fokus Keselamatan, Kebajikan Selepas Kebakaran Sekolah Di Bachok

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah menjadi keutamaan susulan insiden kebakaran di SMU(A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Bachok, Kelantan, petang Ahad.

Dalam kenyataan rasmi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah segera telah diambil bagi memastikan murid, guru dan seluruh warga sekolah terpelihara.

“KPM telah mengambil beberapa langkah segera bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah berkenaan terpelihara,” katanya.

Premis sekolah kini dikosongkan untuk penilaian keselamatan, manakala proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara PdPR sepanjang minggu ini.

KPM turut memperuntukkan RM100,000 bagi kerja pembersihan dan pembaikan asas termasuk pendawaian elektrik serta penyambungan bekalan air bagi membolehkan sekolah beroperasi semula.

Selain itu katanya, pasukan kaunselor dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan digerakkan untuk melaksanakan program sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah yang terjejas.

Anda Mungkin Berminat