KPM Jamin Baik Pulih Segera Bangunan SMKA Sultan Muhammad Terbakar

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bahawa kerja baik pulih akan dilaksanakan segera susulan kebakaran yang menjejaskan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad, Melaka, pagi Rabu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, insiden tersebut melibatkan bahagian bangunan sekolah yang menempatkan bilik guru, namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Syukur tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan guru, murid dan warga sekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan operasi sekolah tidak terjejas.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah diarahkan mengambil tindakan segera,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bahagian-bahagian KPM yang berkaitan akan turun padang bagi memastikan proses baik pulih berjalan lancar dan tidak mengganggu sesi pembelajaran.

“Bahagian-bahagian KPM yang terlibat akan turun padang untuk memastikan kerja baik pulih dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan operasi sekolah,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat