KPM: Jaminan tempat di Matrikulasi bagi pelajar SPM peroleh 10A

PETALING JAYA: Semua pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan memohon untuk Program Matrikulasi akan mendapat tempat secara automatik tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Ini termasuk pelajar yang mendapat 10A dan terdapat keputusan mata pelajaran A-. Dasar ini sama seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.

“Ketetapan ini dibuat bagi memastikan semua pelajar cemerlang 10A SPM 2024 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian,” menurut kenyataan itu.

KPM juga memaklumkan sistem kuota Bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi kekal dan tidak terjejas.

“Kerajaan MADANI akan terus memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan aset masa hadapan negara,” menurut kenyataan itu.

Pada Selasa, MCA mahu Menteri Pendidikan menjelaskan mengapa lepasan SPM yang memperoleh A- dalam peperiksaan itu tidak lagi terjamin mendapat tempat secara terbuka di kolej matrikulasi.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan perkara itu kerana berpegang kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat