KPM: Keputusan SPM 2025 meningkat kepada 94%

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025 menunjukkan seramai 366,435 calon atau 94.29 berjaya layak dianugerahkan sijil itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd Azam Ahmad yang berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.

Jelas beliau, jumlah itu meningkat sebanyak 10,502 calon berbanding 355,933 calon atau 94.01 peratus yang layak pada SPM 2024.

Difahamkan, untuk calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 329,272 calon atau 94.51 peratus layak dianugerahkan sijil SPM 2025, berbanding 319,016 calon atau 94.20 peratus pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 10,256 calon.

“Analisis keputusan peperiksaan SPM 2025 menunjukkan pencapaian calon yang memberangsangkan.

“Ia mencerminkan keberkesanan usaha berterusan KPM dalam memastikan sistem pendidikan negara kekal bermutu, inklusif serta memberi peluang adil kepada semua calon di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2025, pada Selasa.

Tegasnya, KPM akan terus memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif reformasi pendidikan selaras dengan aspirasi pembangunan negara.

“Usaha ini penting bagi melahirkan generasi holistik, berpengetahuan, berdaya saing serta berakhlak mulia,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat