Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan keperluan untuk memperkukuh aspek keselamatan di sekolah susulan beberapa kejadian kemalangan yang dilaporkan berlaku kebelakangan ini.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, KPM memaklumkan insiden berkenaan menjadi isyarat jelas bahawa usaha penambahbaikan terhadap tahap keselamatan di institusi pendidikan perlu dipertingkatkan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, semua sekolah di bawah KPM diminta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang sedang berkuat kuasa ketika ini.
Pada masa sama, kementerian sedang memuktamadkan garis panduan baharu dengan mengambil kira saranan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan.
“Garis panduan baharu sedang dimuktamadkan dengan mengambil kira saranan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan,” katanya.
Menurut KPM, pihaknya turut mendapatkan pandangan pakar termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi menambah baik tatacara keselamatan, khususnya melibatkan penggunaan kenderaan dalam kawasan sekolah.
Dalam pada itu, semua pentadbir sekolah diingatkan supaya sentiasa memberi peringatan kepada warga sekolah mengenai kepentingan keselamatan, terutama berkaitan penggunaan kenderaan.
KPM menegaskan, sekolah perlu dipastikan sebagai persekitaran paling selamat buat murid, guru serta seluruh warga sekolah.
Baca juga:








