KPM Lantik 300 Pembantu Warden Asrama

PETALING JAYA: Seramai 300 personel MySTEP Pembantu Warden Asrama bakal ditempatkan di sekolah berasrama seluruh negara, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Langkah itu dilaksanakan melalui Inisiatif MyPWA yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan di sekolah berasrama serta mengurangkan beban tugas guru.

“MyPWA berperanan membantu warden khususnya dalam pemantauan waktu malam bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid asrama dapat terus diperkukuhkan,” kata KPM dalam satu kenyataan pada Rabu.

KPM berkata, pelaksanaan MyPWA akan terus diperluaskan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi keselamatan di institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian.

Katanya lagi, langkah itu juga selari dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, yang menekankan keperluan guru mata pelajaran memberi tumpuan penuh kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa terbeban dengan tugas tambahan berkaitan pengurusan asrama.

Anda Mungkin Berminat