KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan komitmennya membanteras sebarang kegiatan tidak bermoral dalam kalangan pegawai kementerian, susulan pelibatan beberapa individu dalam aktiviti songsang yang dilaporkan baru-baru ini.
Langkah tegas itu susulan penahanan seramai 208 individu, termasuk 17 pegawai awam, dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang.
Kes ini menjadi tular dan menimbulkan keprihatinan mengenai pegawai kerajaan yang terlibat secara langsung.
Dalam kenyataan hari ini, KPM menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap perlakuan tidak bermoral dan sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tahap keterlibatan pegawai terbabit.
“KPM telah mengambil tindakan segera dengan memastikan pegawai-pegawai yang terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan di bawah kementerian sehingga proses siasatan selesai,” menurut kenyataan tersebut pada Isnin.
Kementerian juga mengingatkan semua ketua jabatan untuk mempertingkatkan pemantauan dan pengawasan bagi memastikan sebarang kegiatan tidak bermoral dibanteras di setiap peringkat institusi pendidikan.
Kenyataan itu menegaskan bahawa KPM menitikberatkan integriti dan etika dalam kalangan pegawai serta komited untuk memastikan persekitaran pendidikan selamat dan bebas daripada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang atau moral.
Baca juga:








