Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Islam (BPI) telah melaksanakan sesi Kunjung Bantu Pelaksanaan Aktiviti Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Maarif, Felda Bukit Goh, Kuantan, Pahang.
Sesi ini diketuai oleh Timbalan Pengarah Kanan BPI, Omar Salleh, dengan tujuan untuk memperkasakan penghayatan Hadis 40 dalam kalangan pelajar.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan KPM, lawatan ini termasuk pemeriksaan sekitar sekolah dan asrama, yang telah dihidupkan dengan aktiviti penghayatan Hadis 40.
“Salah satu inisiatif yang menarik perhatian ialah Laluan Bustanul Matan Arbain (Taman Hadis 40), yang dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.
“Laluan ini direka untuk membantu murid melazimi bacaan Hadis 40 dalam perjalanan mereka ke kelas dan kembali ke asrama, dengan harapan agar mereka dapat menghafal dan menghayati hadis-hadis tersebut dengan baik,” kata kenyataan tersebut.
Omar turut menzahirkan harapan agar uasaha tersebut dapat membentuk sahsiah dan nilai-nilai baik dalam kalangan murid, selain memupuk semangat kasih sayang antara mereka.
“Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan keseimbangan dalam perkembangan jasmani, emosi, rohani, dan intelek,” katanya.
Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan untuk memperkasa pendidikan Islam di sekolah-sekolah.
Dengan penghayatan yang mendalam terhadap hadis-hadis berkenaan, murid bukan sahaja akan memperoleh pengetahuan agama yang lebih baik, tetapi juga akan terdidik dengan nilai-nilai murni yang dapat membentuk akhlak mulia.
KPM turut berharap agar generasi muda akan terus terdidik dengan nilai-nilai murni dan menjadi individu yang seimbang, selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Baca juga: