PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Modul Etika Siber Nasional (ESN) di sekolah sebagai langkah memperkukuh pendidikan keselamatan digital dalam kalangan murid, sekali gus menangani pelbagai ancaman teknologi masa kini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran murid terhadap risiko dunia digital termasuk penipuan dalam talian, buli siber, penyalahgunaan data serta eksploitasi teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Modul ini merangkumi enam topik utama iaitu kesihatan dan kesejahteraan digital, fasih digital, adab digital, privasi dan keselamatan digital, hak dan tanggungjawab digital serta perdagangan digital.
“Topik-topik ini disusun secara progresif bagi membentuk kefahaman menyeluruh murid meliputi aspek teknikal, emosi, sosial dan moral dalam penggunaan teknologi,” katanya ketika menjawab soalan Senator Tiew Way Keng di Dewan Negara pada Rabu.
Modul berkenaan dibangunkan KPM dengan kerjasama Kementerian Digital Malaysia melalui CyberSecurity Malaysia, bagi menyokong pelaksanaan program CyberSAFE® in Schools yang menyasarkan murid berusia tujuh hingga 17 tahun.
Selain itu katanya, KPM turut membangunkan Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) untuk membimbing guru dan murid menggunakan teknologi AI secara beretika serta bertanggungjawab.
Panduan tersebut memberi penekanan kepada aspek etika AI, keselamatan data dan integriti akademik dan dijangka dimuktamadkan pada April 2026.








