KPM Perkenal Subjek Baharu ‘Alam Dan Manusia’ Mulai 2027

PETALING JAYA: Murid Tahap 1 sekolah rendah bakal mempelajari subjek baharu yang dikenali sebagai Alam dan Manusia bermula tahun 2027, menurut pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Khamis.

Dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook, KPM memaklumkan bahawa subjek itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguasaan kemahiran asas dan pembentukan karakter murid sejak awal persekolahan.

“Mata pelajaran ini menggabung jalin pelbagai disiplin ilmu, sains, pendidikan kesihatan, muzik, seni visual, TVET dan digital.

“Subjek ini akan menggantikan mata pelajaran Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik dalam kurikulum sedia ada,” katanya.

Tambahnya, pendekatan pengajaran bagi subjek itu juga bakal menyaksikan pelaksanaan kaedah ‘co-teaching’ atau pengajaran berpasukan, di mana dua orang guru akan mengendalikan satu kelas secara bersama.

“Pengajaran secara berpasukan itu akan menyokong elemen pelbagai disiplin ilmu dalam mata pelajaran tersebut, di mana guru akan saling melengkapi malah menyokong keperluan pembelajaran murid,” jelas kenyataan itu.

KPM turut berkata, fokus utama Tahap 1 adalah kepada penguasaan literasi dan numerasi atau lebih dikenali sebagai 3M serta pembentukan karakter murid.

“Pada Tahap I, tumpuan utama diberi kepada penguasaan literasi dan numerasi (3M) serta pembentukan karakter.

“Justeru, jumlah mata pelajaran yang diajar adalah minimum bagi membolehkan murid menguasai kemahiran asas,” katanya.

Anda Mungkin Berminat