KPM Perkukuh Langkah Keselamatan, Sokongan Psikososial

PETALING JAYA: Susulan beberapa insiden kebelakangan ini yang mencetuskan kebimbangan masyarakat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini giat memperkukuh mekanisme keselamatan dan kesejahteraan murid di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha berterusan sedang dijalankan bagi memperbaiki kelemahan sedia ada demi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara.

“Bagai tiada istilah cuti buat KPM ketika ini. Kami sedang menggiatkan usaha menyusun semua mekanisme bagi memperkukuh ekosistem sekolah selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebagai sebahagian daripada langkah intervensi, KPM telah mengadakan pertemuan bersama pasukan sokongan psikososial untuk melaksanakan bantuan kesihatan mental kepada warga sekolah yang terjejas akibat insiden baru-baru ini.

“Pasukan ini berperanan membantu guru, pelajar dan komuniti sekolah agar mereka dapat pulih daripada tekanan emosi serta kembali kepada suasana pembelajaran yang sihat,” katanya.

Selain sokongan psikososial, Fadhlina berkata, beberapa sesi perbincangan bersama pasukan KPM turut diadakan bagi menambah baik aspek keselamatan fizikal di sekolah serta memperkukuh kawalan disiplin murid, selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

“Insya-Allah, saya akan umumkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat bagi memastikan kesejahteraan pelajar terus terjamin,” tambahnya.

KPM sebelum ini telah melancarkan inisiatif Sekolah Selamat MADANI, yang menumpukan kepada tiga teras utama iaitu keselamatan, sokongan psikososial dan pendidikan nilai.

Inisiatif itu bertujuan membentuk persekitaran pembelajaran yang harmoni, selamat dan bebas daripada ancaman emosi serta fizikal selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat