KPM sambut baik DBKL bina sekolah menegak

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina sekolah secara menegak atau Vertical School.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menyifatkan ia sebagai satu langkah responsif ke atas kekangan tanah di kawasan bandar khususnya di wilayah ibu negara yang berkeperluan tinggi terhadap akses pendidikan.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM telah mengadakan sesi libat urus yang melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bersama-sama dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta ibubapa dan guru telah dilaksanakan bagi memperhalusi keperluan reka bentuk sekolah menegak atau pun sekolah vertikal.

“Pendekatan ini bagi meneliti aspek pertimbangan yang perlu diberikan perhatian, antaranya keselamatan, kapasiti murid, akses dan juga kelestarian persekitaran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kata Kah Woh, sekolah vertikal merupakan pendekatan inovatif dalam perkembangan institusi pendidikan di kawasan bandar berkepadatan tinggi, bertujuan mengoptimumkan penggunaan ruang yang terhad secara menegak.

“Terdapat tiga model utama yang dicadangkan oleh KPM, Model 1 menumpukan kepada pembinaan sekolah dalam tapak khusus untuk pendidikan sahaja.

“Model 2 menggabungkan kemudahan masyarakat seperti klinik dan juga perpustakaan. Model 3 melibatkan integrasi dengan perumahan dan juga projek komersial,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, konsep itu menekankan aspek keselamatan murid, akses untuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, serta pengurusan bangunan yang efisien.

“Rekabentuk sekolah vertikal perlu mesra kurikulum, lestari (green school), dan fleksibel, serta berpaksikan prinsip seperti rasa kepunyaan, keselamatan, daya tarikan,” kata beliau.

Pembinaan sekolah vertikal adalah tertakluk kepada penilaian KPM dan agensi teknikal khususnya di kawasan yang mempunyai populasi lebih daripada satu juta orang.

Justeru katanya, KPM komited untuk terus bersikap proaktif dan terbuka dalam mendepani cabaran pembangunan pendidikan di kawasan bandar denganberpandukan kepada semangat kerjasama serta keharmonian dengan pihak berkuasa tempatan dan pelbagai agensi kerajaan.

“Hal ini bagi memastikan bahawa akses kepada pendidikan berkualiti tidak terjejas walaupun dalam keadaan ruang fizikal yang terhad,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat