KPM serah isu projek 1BestariNet kepada SPRM untuk siasatan

Oleh: Syahirah Harish

PARLIMEN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sebarang isu berkaitan projek 1BestariNet.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan bahawa pihak kementerian bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini memandangkan perkara tersebut masih dalam proses penyiasatan oleh SPRM.

“Pada masa kini, KPM sedang memuktamadkan cadangan penyelesaian dan akan mengemukakan kepada Jemaah Menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk menentukan hala tuju penyelesaian bagi isu ini.

“Setakat ini, tiada tindakan undang-undang sivil yang difailkan di mahkamah oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) di Dewan Rakyat mengenai status projek 1BestariNet.

Untuk info, projek berkenaan adalah inisiatif KPM untuk mengganti dan menambah baik sistem rangkaian teknolgi maklumat dan telekomunikasi (ICT) di sekolah, dengan objektif memperbaiki perkhidmatan SchoolNet yang telah tamat pada 12 Disember 2011.

Menurut Wong, projek 1BestariNet Fasa 1 telah dilaksanakan bermula 13 Disember 2011 sehingga 12 Jun 2014 setelah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 23 November 2011 untuk dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTLC).

Projek itu diteruskan dalam beberapa fasa sehingga tamat pada 30 Jun 2019, dengan lebih 9,800 sekolah di seluruh negara menerima perkhidmatan.

Dalam tempoh ini, YTLC telah mendirikan sebanyak 2,748 menara komunikasi, dengan 1,143 daripadanya dibina di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan selebihnya di tapak premis sekolah bukan milik PTP.

Namun, selepas tamat tempoh perjanjian 1BestariNet Fasa 2, terdapat isu yang masih belum selesai, khususnya berkaitan kadar sewaan tapak dan caj elektrik untuk menara 1BRIS yang melibatkan 2,748 menara ini.

Anda Mungkin Berminat