KPM serius siasat kes dakwaan remaja 14 lari sekolah akibat jadi mangsa buli

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan dakwaan kes buli melibatkan seorang pelajar sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan segera.

Lapor Bernama, KPM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius terhadap dakwaan kes buli di sekolah seperti yang dilaporkan media.

“Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM,” katanya.

KPM menyatakan pihaknya menyediakan empat saluran utama bagi membolehkan murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat aduan mengenai kes buli dan gangguan seksual menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, e-mel [email protected] dan aduan buli dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Media baru-baru ini, melaporkan seorang pelajar berusia 14 tahun yang hilang dari kawasan Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Jalan Yaacob Latif, Cheras Khamis lepas, ditemukan dalam keadaan lemah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak malam tadi.

Difahamkan, remaja berkenaan bertindak melarikan diri dari sekolah berikutan dibuli pelajar lain.

Anda Mungkin Berminat