PUTRAJAYA: Bermula tahun depan, murid sekolah rendah dan menengah akan mempunyai slot khas selama 60 minit setiap minggu bagi aktiviti pembentukan karakter di bawah Program Pembentukan Karakter yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut kenyataan KPM, inisiatif itu sebahagian daripada pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memperkukuh sahsiah dan nilai murni murid secara berstruktur.
“Program ini memberi tumpuan kepada penghayatan nilai, penerapan adab serta pembentukan tingkah laku positif dalam kehidupan seharian murid,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Bagi peringkat prasekolah, aktiviti pembentukan karakter akan dilaksanakan secara bersepadu dalam pembelajaran harian agar nilai murni diterapkan sejak awal usia.
“KPM komited melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki jati diri kukuh dan berakhlak mulia,” tambah kenyataan itu pada Jumaat.
Program ini turut dilihat sebagai langkah memperkukuh pendidikan berasaskan akhlak dan moral, selaras dengan hasrat KPM melahirkan pelajar yang beradab, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
Baca juga: