KPM Tambah RM5 Juta Untuk CCTV, Perkukuh Keselamatan Dan Sokongan Murid

PUTRAJAYA: Dalam usaha memperkukuh keselamatan dan menangani isu disiplin di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.

Peruntukan baharu itu melengkapi RM3 juta yang telah disalurkan sebelum ini untuk tujuan sama dan pelaksanaannya dijangka bermula dalam masa terdekat.

KPM dalam satu kenyataan berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh KPM dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif untuk murid serta warga sekolah.

“Selain itu, seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah seluruh negara pada November ini bagi memenuhi keperluan semasa serta memperkukuh sokongan psikososial murid,” menurut KPM pada Rabu.

Bagi mempertingkat keselamatan di asrama pula, KPM melantik 600 Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa daripada kalangan personel MySTEP.

Mereka akan membantu pemantauan harian dan mengurangkan beban tugas warden sedia ada.

Kementerian turut memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peranan Pegawai Penghubung Sekolah bagi memastikan pemantauan keselamatan yang lebih menyeluruh di semua institusi pendidikan.

“Fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) turut diperkasa untuk memberi bantuan psikososial ketika berdepan situasi krisis,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam masa yang sama, KPM berkata, latihan berterusan akan diberikan kepada guru bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di sekolah.

Malah katanya, peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin juga akan terus diperkukuh dalam menangani salah laku murid.

Sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan, kementerian kini sedang menggubal semula peraturan disiplin murid dan meneliti semula pelaksanaan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) agar ia dapat digunakan secara proaktif dalam mengurus dan menangani isu disiplin.

KPM turut menekankan pentingnya suara warga sekolah didengari.

“Institusi pendidikan diminta memberi perhatian terhadap suara guru dan murid melalui sesi dialog serta inisiatif ‘kotak suara murid’ selaras dengan advokasi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) yang sedang digubal akan dimuktamadkan tidak lama lagi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan murid terus terjamin di sekolah.

Anda Mungkin Berminat